Program Tamhidi USIM adalah merupakan program lulusan lepasan SPM yang bertujuan menyediakan calon untuk peringkat Ijazah Pertama. Tamhidi adalah satu perkataan Arab yang bermaksud ‘Persediaan ‘ sebagaimana istilah ‘Matrikulasi’ di Kementerian Pelajaran Malaysia dan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, ‘Asasi’ di Universiti Malaya, ‘Tahun Asas’ di Universiti Teknologi Malaysia atau serupa dengan program pra-universiti (STPM, HSC atau A’ Level). Oleh itu Program Tamhidi adalah setara dengan program-program ‘foundation’ atau asasi yang dijalankan oleh universiti-universiti yang telah tersenarai.

Terdapat 5 program Tamhidi yang ditawarkan, iaitu:

  1. Tamhidi Perubatan
  2. Tamhidi Sains dan Teknologi
  3. Tamhidi Syariah dan Undang-undang
  4. Tamhidi Perakaunan dan Muamalat
  5. Tamhidi Pergigian

Pelajar lepasan SPM dari pelbagai jenis sekolah agama yang memperolehi pencapaian yang baik boleh dipertimbangkan untuk mengikuti program pengajian yang kompetitif seperti perubatan, farmasi, bioteknologi makanan kerana tempat yang ditawarkan oleh universiti tempatan dalam bidang sains adalah terhad;

USIM bertekad untuk memajukan beberapa fakulti seperti Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Syariah dan Undang-Undang dan Fakulti Ekonomi dan Muamalat; yang boleh menyumbang ke arah perkembangan dan keperluan negara dalam bidang tersebut;

Bakal graduan profesional muslim yang dihasilkan oleh USIM, selain daripada mempunyai kepakaran dalam bidang Sains Perubatan, Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Ekonomi, Perakaunan, Muamalat dan Syariah dan Undang-Undang; mereka juga mempunyai akhlak dan kefahaman yang betul tentang Islam dan menghayatinya.