Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Kolej GENIUS Insan  (KGI) ditubuhkan dengan matlamat melahirkan ilmuan islam, tenokrat, pemimpin, pembibit reka (innovator) serta pemikir islam masa depan, mampu menghubung kait islam dengan sains , teknologi, keimanan, seni dan matematik (STREAM) serta membangun tradisi keilmuan islam melalui kesepaduan ilmu Naqli dan Aqli. Pelajar KGI akan dididik supaya berani, berketerampilan, bersahsiah tinggi, petah, seorang insan berbudi, beradab dan bertaqwa.

Bagi merealisasikan matlamat ini, KGI mengguna pakai konsep mampat (compress), pacu (accelerated) dan perkaya (enrichment) dalam sistem pembelajarannya. Kurikulum insan turut menyajikan disiplin multi komponen yang merangkumi Sains (Kurikulum Kebangsaan); Ulumudeen Pengajian al Quran dan as Sunnah (Hafazan dan Bahasa Arab); Bahasa Antarabangsa (Perancis, Mandarin, Turki); Pengayaan (Penyelidikan, Falsafah, Elektif, Ko-Kurikulum); dan Pembangunan sahsiah (Kesukarelawanan, Kepedulian Masyarakat dan Kemenjadian Diri).

KGI telah merecanakan pelbagai usaha dalam mengukuhkan jaringan akademik, membangunkan komponen penyelidikan, pengiktirafan kelayakan, membina jaringan antarabangsa serta pendidikan berasaskan nilai agar menghasilkan pelajar seimbang dan holistik selain petah bahasa dan berkeyakinan dalam penulisan. Kandungan kurikulum digarap dengan begitu baik diharap menjadi sumber rujukan yang terbaik dalam usaha memberikan pendidikan berkualiti kepada pemimpin masa hadapan.

Semoga KGI berjaya merealisasikan hasrat negara melahirkan bakal ilmuan islam dalam semua bidang kepakaran ilmu. Marilah kita bersama-sama MENJANA CENDEKIAWAN ISLAM yang bakal memimpin negara di masa hadapan.

Dr. Hayati binti Ismail
Pengarah Kolej GENIUS Insan